Malaria, yaitu penyakit yang disebarkan oleh nyamuk betina yang sudah dijangkiti, bukan penyakit baharu. Walau bagaimanapun, penemuan baru-baru ini membangkitkan lebih kerisauan mengenai penyakit itu. Para penyelidik telah mengeluarkan amaran bahawa malaria telah berevolusi menjadi ‘super malaria’ dan sedang merebak ke serata Asia Tenggara dengan kadar yang membimbangkan.
Ini bermakna Malaysia juga tidak terkecuali daripada berdepan dengan risiko jangkitan ‘super malaria’.
Menurut BBC, ia adalah sejenis malaria yang telah dikenal pasti menolak ubat utama anti-malaria yang berada di pasaran.
Super malaria pada awalnya telah ditemui di Kemboja pada tahun 2007. Sejak itu, ia merebak ke seluruh bahagian Asia Tenggara melalui Thailand, Laos dan Vietnam selatan. Ini bermakna ianya juga semakin menghampiri sempadan negara kita Malaysia.
Profesor Arjen Dondorp, ketua unit penyelidikan Oxford Tropical Medicine di Mahidol University di Bangkok memberi amaran bahawa gejala ini adalah ancaman serius dan mengatakan, “Ianya mencemaskan apabila malaria jenis ini merebak sangat pantas membolosi keseluruhan kawasan dan kami bimbang ia akan merebak lebih jauh dan akhirnya menembusi Afrika.”
Menurut sebuah artikel yang diterbitkan oleh jurnal penyakit berjangkit Lancet (Lancet Infectious Diseases), Profesor Dondorp juga menekankan, “Ianya adalah sejenis malaria yang mantap dan mudah merebak. Ianya juga kebal terhadap ubatan semasa. Kemboja sudah pun menukar kepada ubat baharu yang mungkin dapat bertahan sekitar satu hingga dua tahun. Vietnam juga perlu mengubah ubat yang ada sekarang.”
Para penyelidik khuatir kerana malaria jenis ini telah pun merebak menembusi Vietnam sepantas ‘kebakaran hutan’. Menurut laporan Straits Times, profesor itu juga mengatakan, “Ianya lebih membimbangkan jika penyakit ini turut menular menghala ke arah India dan Afrika.”
Kira-kira 92 peratus kes malaria dilaporkan berlaku di Afrika. Justeru, jika super malaria sampai ke benua ini ia boleh mengundang padah kerana malaria boleh menyebabkan kematian.
Ubat-ubatan biasa yang digunakan untuk merawat malaria ialah artemisinin dan piperaquine. Namun, kekebalan terhadap ubat dilihat terjadi untuk setiap satu daripada tiga rawatan yang diberikan di Vietnam. Di sesetengah kawasan di Kemboja, kadar kegagalan rawatan dilihat lebih tinggi iaitu menjangkau 60 peratus.
Menurut Michael Chew daripada bahagian badan kebajikan penyelidikan perubatan Wellcome Trust, “Penyebaran jenis malaria superbug dan penolakan terhadap ubat yang paling berkesan yang kita ada sangat mencemaskan dan mengakibatkan implikasi ketara terhadap kesihatan orang awam di serata dunia.”
Sekitar 700,000 orang meninggal setiap tahun kerana jangkitan akibat penolakan ubat, termasuk malaria. Jika tiada tindakan diambil, angka kematian dijangka bertambah kepada jutaan orang setahun menjelang tahun 2050.
Meskipun Malaysia masih lagi belum menerima sebarang laporan berkaitan ‘super malaria’, pencegahan awal semestinya merupakan langkah terbaik yang harus diambil.
Tiada vaksin untuk mencegah malaria buat masa ini, namun kita boleh mencegah jangkitan dengan mengambil beberapa langkah seperti mengenakan pelindung nyamuk dan memakai baju berlengan panjang semasa berada di tempat yang menjadi sarang nyamuk. Penggunaan kelambu ketika berada di rumah juga boleh membantu.
Sentiasalah berwaspada. Mencegah lebih baik daripada merawat. Jangan biarkan ‘super malaria’ membolosi garisan sempadan negara kita.